Pentingnya Memahami Debt Service Ratio (DSR) Sebelum Memohon Pinjaman Perumahan

Pentingnya Memahami Debt Service Ratio DSR Sebelum Memohon Pinjaman Perumahan

Table of Contents

Debt Service Ratio (DSR) - Apa yang Perlu Anda Tahu Sebelum Membeli Rumah

Bagi mereka yang baru pertama kali ingin memiliki rumah, pastinya banyak perkara yang perlu dipelajari sebelum membuat keputusan yang penting ini. Salah satu perkara penting yang perlu anda ketahui adalah “Debt Service Ratio” atau DSR. Apakah itu Debt Service Ratio dan mengapa ia penting dalam proses membeli rumah? Teruskan membaca untuk mendapatkan penjelasan.

Apa itu Debt Service Ratio (DSR)?

Debt Service Ratio, atau dalam Bahasa Melayu dikenali sebagai Nisbah Pembayaran Hutang. Debt Service Ratio adalah perbandingan komitmen hutang anda kepada pendapatan anda. Dengan kata lain, berapa banyak daripada pendapatan anda yang akan digunakan untuk membayar hutang anda.adalah satu ukuran yang digunakan oleh pihak bank untuk menilai keupayaan kewangan seseorang untuk membayar balik pinjaman. DSR ini sering menjadi faktor penentu utama dalam proses persetujuan pinjaman rumah.

Secara khusus, DSR mengira peratusan pendapatan bulanan anda yang digunakan untuk membayar semua komitmen kewangan, termasuk pembayaran pinjaman rumah yang bakal anda perolehi. Jadi, semakin rendah DSR anda, semakin besar peluang anda untuk mendapatkan kelulusan pinjaman dari bank.

Bagaimana DSR Dikira?

DSR mengukur kemampuan seseorang untuk membayar balik pinjaman berdasarkan perbandingan antara jumlah komitmen kewangan bulanan dengan pendapatan bulanan. Untuk memahami DSR dengan lebih mendalam, berikut adalah cara bagaimana DSR dikira:

Langkah 1: Mengira Jumlah Komitmen Kewangan Bulanan

Pertama, kumpulkan maklumat tentang semua komitmen kewangan bulanan anda. Ini termasuk bayaran ansuran pinjaman rumah yang anda mohon, ansuran pinjaman kereta, ansuran pinjaman peribadi, pinjaman pendidikan, bayaran kad kredit bulanan, dan apa-apa lagi hutang atau komitmen kewangan bulanan yang perlu dibayar.

Langkah 2: Mengira Pendapatan Bulanan

Susun pendapatan bulanan anda, termasuk gaji utama, elaun, pendapatan sampingan, bayaran bekerja lebih masa (OT) dan sebarang sumber pendapatan lain yang tetap. Tetapi pendapatan tidak tetap seperti elaun dan OT hanya 50% sahaja boleh diambil kira. Pastikan anda menggunakan angka yang bersih selepas potongan cukai atau potongan lain seperti KWSP.

Langkah 3: Hitung DSR

Secara umumnya, bank-bank di Malaysia menetapkan had (limit) DSR adalah:

  • 60% untuk individu bergaji bersih di bawah RM3000
  • 70% untuk individu bergaji bersih di atas RM3000

Walau bagaimanapun, had (DSR) berbeza bergantung kepada bank yang anda pilih. Terdapat bank yang memberikan had DSR sehingga 80% bagi individu yang memiliki pendapatan RM5000 atau lebih. Saya mengesyorkan agar anda merujuk kepada pihak bank terlebih dahulu sebelum memohon pembiayaan rumah.

Contoh Pengiraan DSR:

  • Bayaran pinjaman peribadi setiap bulan = RM1,800
  • Ansuran kereta setiap bulan = RM900
  • Pendapatan bulanan = RM6,000
  • DSR sebenar = (RM1,800 + RM900 / RM6,000) x 100 = 45%

Langkah 4: Hitung Pengiraan Had Pinjaman Masa Depan

Bank secara umumnya, akan menerima DSR di bawah 70% bagi semua komitmen hutang anda. Ini bermakna sekiranya anda mahu memohon pinjaman peribadi pada masa depan, anda tidak boleh mempunyai komitmen bulanan tambahan melebihi RM1,700, melainkan pendapatan bulanannya meningkat.

  • Bayaran pinjaman peribadi setiap bulan  = RM1,800
  • Ansuran kereta setiap bulan = RM900
  • Pendapatan bulanan = RM6,000
  • DSR maksima untuk gaji melebihi RM3,000 = 70% x RM6,000 = RM4,200
  • Had pinjaman masa depan = RM4,200 – (RM1,800 + RM900) = RM1,700

Langkah 5: Hitung Pengiraan Kelayakan Maksima Harga Rumah

Untuk dapatkan anggaran harga rumah yang anda layak beli, darabkan ansuran bulanan di atas dengan 200.

  • Had pinjaman masa depan = RM1,700
  • Anggaran harga rumah = RM1,700 x 200 = RM340,000

Bedasarkan pengiraan di atas, anda hanya layak untuk memohon pembiayaan perumahan yang berharga RM340,000 ke bawah. Perlu diingatkan bahawa pengiraan di atas hanyalah anggaran. Masih terdapat beberapa checklist lain yang perlu diambil kira.

Mengapa DSR Penting untuk Membeli Rumah?

DSR adalah penanda aras yang penting bagi bank untuk menilai risiko kewangan anda sebagai pembeli rumah. Semakin rendah DSR anda, semakin tinggi kemungkinan anda untuk mendapatkan kelulusan pinjaman. Ini kerana bank ingin memastikan anda mempunyai kapasiti kewangan yang mencukupi untuk membayar balik pinjaman secara berkala tanpa terlalu banyak memberatkan diri anda.

Selain itu, DSR juga berperanan dalam membantu anda menilai kemampuan kewangan sendiri sebelum membuat keputusan membeli rumah. Anda haruslah realistik dengan kewangan yang ada dan jangan memaksakan diri jika DSR anda melebihi had yang ditetapkan oleh bank. Berhati-hati dan bijaklah dalam membuat keputusan yang akan mempengaruhi kewangan anda dalam jangka panjang.

Tips untuk Meningkatkan Peluang Kelulusan Pinjaman Rumah

Sebagai seorang yang ingin memiliki rumah, satu aspek penting yang perlu anda beri perhatian adalah urusan kewangan dengan baik. Menguruskan kewangan dengan bijak adalah langkah penting untuk memastikan anda dapat memenuhi komitmen pembayaran pinjaman rumah dan memastikan kewangan anda berada dalam keadaan stabil. Berikut adalah beberapa tips dan panduan untuk menguruskan kewangan dengan baik:

Uruskan Kewangan Dengan Baik

1. Buat Anggaran Bulanan: Mulakan dengan membuat anggaran bulanan yang terperinci. Catat semua pendapatan dan perbelanjaan anda termasuk gaji, elaun, pendapatan sampingan, bil-bil bulanan, bayaran ansuran hutang, belanja harian, dan lain-lain. Anggaran ini akan membantu anda melihat secara jelas berapa jumlah yang diperolehi dan dibelanjakan setiap bulan.

2. Rancang Pembayaran Hutang: Jika anda mempunyai hutang lain seperti pinjaman kereta, kad kredit, atau pinjaman peribadi, rancang pembayaran hutang dengan teliti. Bayar ansuran hutang pada masa yang ditetapkan dan jika mampu, cuba bayar lebih daripada jumlah minimum untuk mengurangkan baki hutang dengan lebih cepat. Dengan mengurangkan hutang sebelum memohon pinjaman rumah, DSR anda akan meningkat dan memberi peluang lebih besar untuk mendapatkan kelulusan pinjaman rumah.

3. Elakkan Pinjaman Baru Sebelum Membeli Rumah: Sebaiknya, elakkan memohon pinjaman baru atau membuat perbelanjaan besar yang akan menambah beban kewangan anda sebelum membeli rumah. Permohonan pinjaman baru akan menyebabkan DSR anda meningkat, dan ini mungkin menjejaskan peluang anda untuk mendapatkan kelulusan pinjaman rumah.

4. Simpan Secara Tetap: Selalu usahakan untuk menyimpan sebahagian daripada pendapatan bulanan anda sebagai dana kecemasan atau simpanan untuk membantu menangani perbelanjaan tak terduga atau kecemasan. Simpanan ini juga dapat membantu anda jika berlaku perubahan dalam situasi kewangan anda.

5. Pantau Perbelanjaan: Selalu pantau dan kaji semula perbelanjaan anda. Adakalanya perubahan dalam gaya hidup dan keadaan kewangan memerlukan penyesuaian dalam perbelanjaan anda. Jika anda merasa ada perkara yang tidak perlu, cuba kurangkan atau elakkan belanja tersebut untuk membantu meningkatkan kewangan anda.

6. Manfaatkan Teknologi: Kini, terdapat pelbagai aplikasi dan perisian kewangan yang boleh membantu anda menguruskan kewangan dengan lebih mudah. Manfaatkan teknologi ini untuk mencatat dan menguruskan belanjawan anda, memantau perbelanjaan, dan membantu anda membuat keputusan kewangan yang bijak.

7. Berunding dengan Pakar Kewangan: Jika perlu, berunding dengan seorang pakar kewangan atau penasihat kewangan yang berpengalaman. Mereka boleh membantu anda merangka pelan kewangan yang sesuai dengan situasi dan matlamat kewangan anda. Mereka juga boleh memberi nasihat tentang strategi kewangan yang sesuai untuk mencapai matlamat membeli rumah pertama anda.

Kesimpulannya, DSR (Nisbah Pembayaran Hutang) adalah perkara penting yang perlu anda fahami apabila ingin membeli rumah mahupun lain-lain hartanah. Pastikan DSR anda berada di tahap yang selesa sebelum membuat permohonan pinjaman rumah. Semoga anda berjaya dalam perjalanan memiliki rumah idaman anda!

Terima kasih kerana membaca dan jangan lupa berkongsi maklumat ini dengan rakan-rakan yang lain yang mungkin memerlukan. Selamat berjaya!

Rujukan:

  1. Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH) Malaysia – Laman web rasmi: https://www.lppeh.gov.my/

  2. Malaysian Institute of Estate Agents (MIEA) – Laman web rasmi: https://www.miea.com.my/

  3. Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM) – Laman web rasmi: https://peham.org.my/

  4. Website hartanah PropertyGuru – Laman web rasmi – https://www.propertyguru.com.my/

  5. Arif Hussin – Laman web rasmi: https://arifhussin.com/

  6. Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) – Laman web rasmi: https://www.pidm.gov.my/

Compare listings

Compare
error: Content is protected !!

Tak jumpa rumah/tanah yang berkenan di hati?

Insya Allah saya bantu Tuan dapatkan rumah/tanah yang sesuai